Pertemuan santai yang mendebarkan kerana bertentang mata dengan dua wanita hebat dan menginspirasikan, Dr. Zainah Shariff (Timbalan Ketua Pengarah, Jabatan Belia dan Sukan Negara) dan Profesor Madya Dr. Haslinda Abdullah (Timbalan Dekan (Penyelidikan & Inovasi) Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia).
Turut sama ialah dua Youth Worker yang banyak bekerja menyerlahkan bakat orang muda, Abil Fikri Ahmad dan Khairul Anuar Abdullah.
Saya tidak mahu menulis apa yang kami kongsikan. Cuma hasil daripada diskusi ikhlas semalam, apa yang kami dengar bersama secara keseluruhan, terdapat sokongan besar untuk membangunkan orang muda yang positif untuk negara. Orang muda menyatakan harapan dan pengharapan mereka amat tinggi bahawa sesuatu yang nyata dan jelas akan datang daripadanya.
Rumusan dari sudut pandang saya ialah:
01. PERUBAHAN DIPERLUKAN, DAN SEKARANG DIPERLUKAN.
Orang muda sangat berharap sesuatu yang nyata dan pasti akan datang dari Strategi pemerintah di pelbagai peringkat (kebangsaan, negeri, daerah, waimah di kawasan kejiranan “local council’. Terdapat juga rasa mendesak untuk membuat beberapa perubahan dengan cepat dengan meminimakan birokrasi.
02. STRATEGI PERLU LEBIH BESAR DARIPADA PEMERINTAHAN MASA KINI.
Orang muda ingin melihat tindakan terhadap beberapa masalah sistemik utama yang biasanya dianggap "terlalu keras" atau "terlalu besar" untuk ditangani.
03. KOMUNITI ANAK MUDA TEMPATAN ADALAH PENTING DALAM MENJAYAKAN STRATEGI.
Strategi perlu memberi kekuatan kepada masyarakat belia dan memberi mereka alat untuk membuat perubahan yang sesuai untuk mereka. Pendekatan ABCD (Asset Based Community Development) adalah yang terbaik di implementasikan.
04. STRATEGI PERLU MEMBERI TUMPUAN KEPADA KESEJAHTERAAN KELUARGA.
Kebahagiaan keluarga adalah mustahak terutama kesejahteraan anak. Kita perlu menyediakan sokongan yang kuat dan tepat kepada keluarga pada masa yang tepat dan sesuai.
05. STRATEGI PERLU MEMBERI TUMPUAN UNTUK MENGURANGKAN KETIDAKSAMAAN.
Orang muda semakin lantang bercakap tentang ketidaksamaan hasil untuk kumpulan yang berbeza dan menyedari bahawa meningkatkan kesejahteraan mereka memerlukan lebih banyak usaha dan fokus. Ini termasuk menangani isu perkauman, diskriminasi, peraturan yang mencengkam.
06. KEHIDUPAN YANG BAIK LEBIH DARI SEKADAR KEPERLUAN ASAS.
Orang muda yang kita ajak bicara mengakui tentang keperluan mereka untuk perkara asas, tetapi juga berharap masa depan mereka merangkumi lebih daripada itu. Taraf hidup minimum tidak mencukupi.
07. ORANG MUDA MEMPUNYAI HAK UNTUK DIMASUKKAN DALAM PROSES MEMBUAT KEPUTUSAN.
Terdapat banyak advokasi untuk memasukkan dan mempertimbangkan suara orang muda dalam apa saja strategi dan dalam setiap keputusan yang mempengaruhi mereka secara lebih luas.
08. MELABUR DALAM MEMASTIKAN SEMUA ORANG MUDA MENDAPAT PENDIDIKAN DAN LATIHAN YANG HEBAT.
Pendidikan dan latihan berkualiti adalah kunci untuk peluang masa depan. Institusi Pengajian Tinggi dan Institusi Latihan Kemahiran boleh memberi kesan besar kepada kesejahteraan orang muda, menjadi lebih baik atau lebih buruk.
09. FOKUS PADA INTERVENSI AWAL
Sesuatu strategi perlu memberi perkhidmatan kepada orang muda sebelum mereka mencapai titik krisis. Masyarakat umum sebenarnya menyokong pendekatan pencegahan dan memperbaiki perjalanan yang baik untuk orang muda tetapi perlulah di peringkat “belia awal” (mungkin juga di akhir kanak-kanak!)
10. KERAJAAN, AGENSI, DAN PERKHIDMATAN MASYARAKAT BELIA PERLU BEKERJASAMA DENGAN LEBIH BAIK.
Terdapat pengakuan dan kesungguhan bahawa beberapa inisiatif baru akan berikan berdasarkan keperluan orang muda, tetapi banyak yang dapat dicapai jika agensi kerajaan dan khidmat masyarakat belia dapat berkomunikasi dan berkolaborasi dengan lebih berkesan.
RIZAN HASSAN | 16.09.2020
コメント