Search

Ambil peluang industri perlukan pekerja, usah terlalu ideal



Oleh Suzalina Halid suzalina@bh.com.my Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/06/696362/ambil-peluang-industri-perlukan-pekerja-usah-terlalu-ideal

KUALA LUMPUR: Golongan pekerja di negara ini perlu mengambil peluang dalam industri yang masih memerlukan khidmat buruh termasuk sektor perkilangan dan peruncitan demi kelangsungan hidup tanpa memikirkan soal pekerjaan ideal buat masa ini. Pakar Psikologi Kaunseling, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Prof Datuk Dr Mohamed Fadzil Che Din, berkata meskipun ada sektor pekerjaan dianggap tidak setanding dengan tahap pendidikan atau jawatan ditawarkan hanya membabitkan bidang asas, ia boleh menjadi batu asas sebelum memperoleh jawatan lebih baik pada masa depan. "Dalam memilih kerjaya ini, ada dua isu, iaitu realiti kehidupan dan ideal kehidupan. Memperoleh kerjaya, jawatan dan gaji sesuai dengan kelulusan ialah perkara ideal, namun realitinya kini sukar mendapatkan semuanya dalam situasi sekarang. "Namun, kita harus terus bekerja untuk kelangsungan hidup jika contohnya peluang hanya ada pada bidang perkilangan dan peruncitan. Jika itu terbaik, maka rebutlah peluang itu, " katanya ketika dihubungi BH di sini, hari ini. Beliau berkata demikian mengulas berhubung kajian Jobstreet bahawa lima industri, iaitu teknologi maklumat (IT), perbankan, perkilangan, peruncitan dan penjagaan kesihatan masih mengambil pekerja meskipun berdepan persekitaran mencabar susulan pandemik COVID-19. Mohamed Fadzil berkata, perkara paling penting dalam kerjaya ialah pendedahan yang walaupun bermula dari bawah, namun dengan adanya peluang itu ia boleh mengembangkan kerjaya pada masa depan. "Kitaran kerjaya ialah satu pusingan yang akan menyaksikan perkembangan. Contohnya, kerja dalam bidang perkilangan, apabila seseorang pekerja mempunyai ijazah diberi pendedahan kepada sektor itu, mungkin kerjayanya akan melonjak apabila keadaan ekonomi bertambah baik nanti, " katanya. Mengulas kajian Jobstreet itu, beliau berkata, ia boleh dijadikan sedikit panduan namun ia dikhuatiri tidak menggambarkan realiti terkini kerana sumber kajiannya terhad. Sementara itu, Pakar Undang-Undang Buruh dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Kamal Halili Hassan, berkata lima industri itu diyakini mampu menarik golongan pekerja khususnya anak muda tidak kira sama ada mempunyai pengajian tinggi atau tidak. Beliau berkata, bagi anak muda mempunyai diploma atau sarjana muda, mereka boleh menceburi bidang IT, penjagaan kesihatan dan perbankan, manakala mereka tidak mempunyai pendidikan tinggi pula boleh mencuba dalam bidang perkilangan dan peruncitan. "Semua bidang ini memang boleh menarik pekerja khususnya anak muda kerana golongan itu mudah menyesuaikan diri dengan keadaan ekonomi semasa. Meskipun bidang dinyatakan ada juga kesannya disebabkan COVID-19, ia tidak seteruk sektor lain seperti perhotelan. "Bagi yang tidak mempunyai diploma atau ijazah, mereka boleh menumpukan kepada Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), golongan muda ini selalunya lebih fleksibel, " katanya. Beliau berkata, pihaknya percaya peluang pekerjaan akan rancak semula selepas keadaan ekonomi bertambah baik seawal-awalnya pada hujung tahun ini.

0 views0 comments