top of page
Search
Writer's pictureBelia Mahir (Rizan Hassan)

COVID-19: Sedia kursus relevan latih semula pekerja diberhentikan


Sumber: Berita Harian


Oleh Mohd Anwar Patho Rohman wananwar@bh.com.my KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran menaik taraf kursus ditawarkan di pusat latihan industri bagi menarik minat pekerja yang terjejas akibat COVID-19 untuk mengikuti kursus meningkatkan kemahiran mereka. Kursus yang ditawarkan perlu relevan dan signifikan dengan keperluan industri supaya memberikan nilai tambah kepada pekerja teknikal taraf rendah atau sederhana yang hilang pekerjaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran, Mohamad Rizan Hassan, menyifatkan kebanyakan kursus kemahiran ditawarkan di institut latihan industri lebih tertumpu kepada kursus tahap permulaan (entry level). Katanya, kursus latihan industri yang ditawarkan penyedia kursus hanya sesuai untuk mereka yang baru hendak berjinak-jinak dalam bidang kemahiran atau lepasan Sijil Pendidikan Malaysia (SPM) yang mahu mendapat sijil kemahiran. "Kita percaya kerajaan mempunyai dana untuk membantu pekerja berkemahiran meningkatkan lagi kemampuan mereka, tetapi masalahnya ialah kebanyakan kursus ditawarkan di institusi kemahiran bersifat rendah atau hanya sesuai untuk lepasan SPM. "Ini mematahkan semangat kelompok pekerja yang sudah ada kemahiran untuk mengikuti kursus industri ditawarkan di pusat latihan industri kerana kebanyakan pekerja terjejas akibat COVID-19 dan PKP sudah ada kemahiran tahap sederhana atau tinggi. "Mereka juga ada yang sudah berpuluh tahun berpengalaman kerja. Dalam hal ini, isu utama yang perlu diatasi kerajaan ialah sejauh mana dapat membantu institusi latihan menyediakan kursus yang relevan dan signifikan dengan keperluan semasa industri," katanya. Beliau berkata, usaha itu juga selaras dengan hala tuju negara yang menuju ke arah Revolusi Industri 5.0 yang mengutamakan kemahiran teknikal tahap tinggi. Mohd Rizan mengulas mengenai Program Pengekalan Pekerjaan (ERP) yang diperkenalkan kerajaan menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi pada 16 Mac lalu bagi mengurangkan beban kewangan majikan terjejas akibat COVID-19 dan PKP. Menerusi ERP, katanya, majikan boleh berperanan membantu kelompok pekerja tahap sederhana dan tinggi yang hilang pekerjaan akibat COVID-19 dengan menawarkan mereka kursus kemahiran relevan dengan keperluan semasa industri di tempat kerja (in house training) menggunakan dana ERP. "Dengan cara itu, majikan bukan saja boleh mengenal pasti pekerja yang diperlukan untuk diambil bekerja, malah dapat membantu pekerja meningkatkan lagi ilmu dan kemahiran tinggi yang diperoleh sebelum ini," katanya. Beliau berkata, kursus kemahiran ditawarkan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) pula lebih menjurus kepada peningkatan kemahiran bukan teknikal yang tidak sesuai untuk golongan pekerja industri. "Kursus kemahiran ditawarkan di PSMB lebih kepada meningkatkan keupayaan kelompok eksekutif, ia kurang membantu golongan pekerja industri," katanya.

8 views0 comments

Comments


bottom of page