HILANG HORMAT, RUNTUH EKONOMI: MASANYA BETULKAN HUBUNGAN MAJIKAN-PEKERJA
- Belia Mahir (Rizan Hassan)
- May 1
- 2 min read

Sempena Sambutan Hari Pekerja pada 1 Mei 2026 dengan tema “Pekerja MADANI KESUMA Bangsa”, Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (BELIA MAHIR) menyambut baik dan menyokong penuh inisiatif Kerajaan dalam memperkasa kebajikan serta perlindungan golongan pekerja di Malaysia.
Antara pengumuman penting termasuk cadangan peluasan perlindungan PERKESO kepada warganegara Malaysia di luar negara, pengenalan Elaun Pasca Cuti Bersalin sebagai sokongan tambahan kepada ibu bekerja, serta komitmen berterusan dalam memperkasa wanita sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan sosial negara.
BELIA MAHIR melihat langkah ini sebagai satu pendekatan progresif yang bukan sahaja menjaga kebajikan pekerja, malah membina asas tenaga kerja yang lebih inklusif, mampan dan berdaya tahan dalam menghadapi cabaran ekonomi global.
Namun begitu, BELIA MAHIR ingin menegaskan bahawa kekuatan sebenar ekonomi negara tidak hanya bergantung kepada dasar semata-mata, tetapi terletak pada kualiti hubungan antara majikan dan pekerja.
Majikan perlu memberikan penghormatan tinggi kepada pekerja.Pekerja bukan sekadar tenaga buruh, tetapi aset strategik yang menyumbang kepada pertumbuhan organisasi dan negara. Sikap memandang rendah, komunikasi yang lemah, serta kegagalan menghargai sumbangan pekerja hanya akan melemahkan produktiviti dan kesetiaan tenaga kerja.
Dalam masa yang sama, pekerja juga perlu memberikan sikap terpuji kepada majikan. Budaya kerja sambil lewa, kurang disiplin, tidak amanah dan cepat menyalahkan pihak lain adalah antara faktor yang menjejaskan kepercayaan serta prestasi organisasi.
Realitinya, kedua-dua pihak mempunyai kelemahan yang perlu diperbaiki.
Hubungan keserakanan majikan-pekerja bukan sekadar hubungan kontrak, tetapi satu perkongsian tanggungjawab dalam membina ekonomi negara. Tanpa kepercayaan, rasa hormat dan disiplin bersama, tiada dasar atau insentif yang mampu menjamin kemakmuran jangka panjang.
BELIA MAHIR menegaskan bahawa jalan ke hadapan memerlukan sikap kebertanggungjawaban dan semangat nasionalisme yang tinggi daripada kedua-dua pihak. Majikan perlu adil dan menghargai. Pekerja pula perlu berintegriti dan berdisiplin.
Dalam era teknologi yang pesat berkembang, perubahan bukan sahaja berlaku pada sistem dan mesin, tetapi turut mengubah cara manusia berfikir, bekerja dan menjalani kehidupan. Justeru itu, pembentukan sikap menjadi faktor paling kritikal dalam memastikan tenaga kerja Malaysia kekal relevan dan berdaya saing.
Golongan belia berkemahiran khususnya perlu tampil sebagai generasi yang bukan sahaja mahir secara teknikal, tetapi mempunyai nilai amanah, tanggungjawab, kesungguhan dan daya tahan yang tinggi.
BELIA MAHIR menyeru agar semua pihak berhenti menuding jari, sebaliknya mula membina semula kepercayaan dan budaya kerja yang sihat demi masa depan negara.
Bersama kita menyahut seruan untuk melahirkan tenaga kerja yang dihormati, berintegriti dan berjiwa nasional dalam memacu Malaysia ke hadapan. SELAMAT HARI PEKERJA 2026.
Sekian, terima kasih.
MOHAMMAD RIZAN BIN HASSAN
Presiden BELIA MAHIR
Merangkap Ahli Majlis TVET Negara
.png)

.png)



Comments