Search

PPKK: KELEMAHAN YANG SUDAH DI JANGKA


KENYATAAN MEDIA

PERKASAKAN PUSAT BERTAULIAH BAGI TANGANI KEGAGALAN PROGRAM PENINGKATAN KAPASITI DAN KAPABILITI KUMPULAN KHUSUS

Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (PKPB) melihat kegagalan mencapai objektif utama Program Peningkatan Kapasiti dan Kapabiliti Kumpulan Khusus (PPKK) di bawah Unit Perancangan Ekonomi (UPE) seperti yang di dedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2018 Siri 3 boleh di elakkan jika pihak kerajaan membuang sikap “kerajaan tahu segala-galanya”.

Sejak 5 tahun kebelakangan ini, pelbagai pandangan dan kritikan membina di berikan kepada semua kementerian yang berkaitan dengan pembangunan latihan kemahiran yang membabitkan golongan B40 khususnya di kalangan generasi muda namun tidak di pandang serius. Selain PKPB, badan bukan kerajaan seperti Gabungan Institusi Latihan Kemahiran Swasta Bumiputera (GILKSB) dan Persekutuan Pusat Bertauliah JPK Malaysia (FEMAC) telah melihat jauh ke depan akan masalah yang akan berlaku jika sesuatu inisiatif kerajaan tidak mengambil kira pandangan mereka di lapangan.

Justeru itu, PKPB menyarankan kerajaan agar dapat memperkasakan Pusat Bertauliah (PB) yang di tauliahkan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) sebagai penyedia latihan utama bagi melaksanakan Program Peningkatan Kapasiti dan Kapabiliti Kumpulan Khusus (PPKK) di masa akan datang.

Terdapat lebih 400 buah PB di seluruh negara yang menawarkan pelbagai kursus kemahiran yang di akui mampu melaksanakan PPKK dan memenuhi keperluan industri bahkan mempunyai jaringan kerjasama erat dengan pihak industri bagi setiap bidang yang di tawarkan.

Ini kerana kursus yang di tawarkan oleh PB memenuhi Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (SKPK) yang merupakan dokumen yang menggariskan ketrampilan yang diperlukan oleh seseorang pekerja mahir yang bekerja di Malaysia bagi sesuatu bidang dan tahap pekerjaan serta laluan untuk mencapai ketrampilan tersebut. Dokumen SKPK ini berasaskan keperluan pekerjaan dan mengikut struktur kerjaya di dalam sesuatu bidang pekerjaan. Menariknya, ianya dibangunkan oleh pakar industri dan pekerja mahir yang menjalankan pekerjaan

Kegagalan yang dilaporkan adalah sebahagian kesan daripada keegoan sesetengah kementerian, jabatan dan agensi kerajaan yang tidak mendengar pandangan pelaksana latihan kemahiran yang sebenar di lapangan yang mahukan agihan dan penyelarasan apa saja dana latihan kemahiran hanya kepada PB yang diiktiraf dan di tauliah oleh JPK.

JPK hendaklah di angkat sebagai badan tunggal persijilan kemahiran di Malaysia yang mengawalselia kualiti, penyelaras perancangan dan pembangunan latihan termasuk inisiatif PPKK.

Malaysia mempunyai kerangka latihan kemahiran yang baik yang turut menyantuni kumpulan sasar termasuk golongan B40. Namun, tidak menggunakan sumber yang ada bukan saja merugikan bahkan membuka ruang kepada salahguna kuasa dan penyelewengan dana bagi membangunkan ekonomi B40.

Terima kasih

Yang Menjalankan Tugas,

MOHAMMAD RIZAN BIN HASSAN

SETIAUSAHA AGUNG

16.07.2020

Rujukan:

Rujukan 1: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/07/710844/11-program-upe-gagal-tingkat-pendapatan-b40


Rujukan 2: https://m.malaysiakini.com/news/534359

146 views0 comments