WORLDSKILLS SHANGHAI 2026: MASANYA MALAYSIA BERFIKIR SEPERTI JUARA
- Belia Mahir (Rizan Hassan)
- 1 minute ago
- 4 min read

Oleh: Mohammad Rizan Hassan
Presiden BELIA MAHIR / Ahli Majlis TVET Negara
Tidak lama lagi, sekumpulan anak muda terbaik negara akan melangkah ke Shanghai, China dengan membawa satu amanah yang cukup besar — membawa nama Malaysia ke pentas kemahiran paling berprestij di dunia, WorldSkills Competition Shanghai 2026.
Edisi ke-48 WorldSkills Competition yang berlangsung pada 22 hingga 27 September 2026 bakal menghimpunkan lebih 1,400 bakat kemahiran muda dari lebih 70 negara dan wilayah untuk bersaing dalam 64 bidang kemahiran. Inilah pentas yang menjadi penanda aras tertinggi dunia terhadap kecemerlangan kemahiran.
Bagi Malaysia, Shanghai 2026 membawa makna yang jauh lebih besar.
Kita tidak mahu hadir sekadar sebagai peserta.
Kita mahu hadir sebagai pencabar.
Dan lebih penting, kita membawa satu impian besar negara — mencipta sejarah dengan membawa pulang pingat emas pertama Malaysia dalam WorldSkills Competition.
Malaysia telah menyertai WorldSkills selama lebih tiga dekad. Dalam WorldSkills Lyon 2024, negara berjaya membawa pulang satu pingat gangsa dalam bidang Beauty Therapy melalui Wong Hsun Wei serta empat Medallion for Excellence. Kini, sasaran negara telah dinaikkan. Untuk Shanghai 2026, Malaysia membawa 22 peserta dalam 21 bidang kemahiran melalui agenda “Road to Gold”, dengan matlamat jelas untuk menamatkan penantian terhadap pingat emas pertama negara di pentas WorldSkills Competition.
Saya percaya kita boleh melakukannya.
Tetapi sebelum kita bercakap tentang pingat emas, kita perlu bercakap tentang satu perkara yang lebih penting:
Winning Mentality.

MENANG BERMULA DALAM FIKIRAN
Pingat emas tidak dimenangi pada hari pertandingan.
Ia sebenarnya mula dimenangi berbulan-bulan dan bertahun-tahun sebelumnya — ketika seseorang peserta memilih untuk mengulangi latihan yang sama walaupun sudah letih, memperbaiki satu kesilapan kecil berulang kali, menjaga disiplin dan terus berlatih ketika tiada siapa melihat.
Itulah mentaliti seorang juara.
Kepada wakil Malaysia, saya mahu mereka sedar bahawa mereka telah melepasi satu perjalanan yang bukan sedikit untuk berada di tahap ini.
Mereka bukan dipilih secara kebetulan.
Mereka berada di WorldSkills kerana mereka mempunyai kemampuan.
Justeru, jangan sampai ke Shanghai dengan mentaliti:
“Saya mahu cuba yang terbaik.”
Ubahlah kepada:
“Saya layak berada di sini. Saya datang untuk bersaing dengan yang terbaik. Dan saya datang untuk menang.”
Hormati semua lawan.
Tetapi jangan takut kepada sesiapa.
Peserta dari China, Korea, Jepun, Switzerland, Perancis, Singapura atau mana-mana negara sekalipun mempunyai dua tangan, satu fikiran dan masa pertandingan yang sama seperti kita.
Respect everyone. Fear no one.

LAWAN SEBENAR ADALAH DIRI SENDIRI
Dalam pertandingan bertaraf dunia, lawan terbesar sebenarnya bukan peserta yang berdiri di workstation sebelah.
Lawan terbesar ialah diri sendiri.
Takut.
Gemuruh.
Overthinking.
Hilang fokus.
Panik apabila melakukan kesilapan.
Terlalu melihat prestasi peserta lain.
Semua ini boleh memusnahkan persediaan berbulan-bulan dalam beberapa minit.
Sebab itu winning mentality bukan bermaksud seseorang itu tidak pernah melakukan kesilapan.
Seorang juara juga melakukan kesilapan.
Bezanya ialah seberapa cepat dia bangkit selepas melakukan kesilapan tersebut.
Saya mahu peserta Malaysia ingat tiga perkataan:
RESET. REFOCUS. EXECUTE.
Jika berlaku kesilapan — reset.
Jangan bawa kesilapan task pertama ke task kedua.
Fokus semula.
Kemudian terus execute apa yang telah dilatih.
Selagi jam pertandingan belum berhenti, pertandingan belum tamat.

JANGAN KEJAR PINGAT, KEJAR KESEMPURNAAN
Ironinya, jika kita terlalu memikirkan pingat ketika pertandingan berlangsung, kita mungkin kehilangan fokus terhadap kerja yang sebenarnya menentukan pingat tersebut.
Ketika competition bermula, lupakan podium.
Lupakan medal tally.
Lupakan siapa mendahului.
Fokus kepada perkara yang boleh dikawal:
ketepatan, masa, prosedur, keselamatan, kekemasan, penyelesaian masalah dan standard kerja.
WorldSkills ialah pertandingan yang menilai kecemerlangan pada tahap tertinggi. Perbezaan antara seorang juara dunia dengan peserta lain kadangkala bukan sesuatu yang besar.
Mungkin satu ukuran.
Satu sambungan.
Satu finishing.
Satu keputusan teknikal.
Atau beberapa minit pengurusan masa.
Sebab itulah seorang juara perlu obses terhadap detail.
Master the basics. Perfect the details.
TEKANAN ADALAH SATU KEISTIMEWAAN
Kita juga mesti mengubah bagaimana kita melihat tekanan.
Jangan takut apabila jantung berdegup lebih laju sebelum pertandingan.
Itu bukan tanda kelemahan.
Itu tanda bahawa kita sedang melakukan sesuatu yang penting.
Tekanan hadir kerana anda berada di pentas dunia.
Tidak semua orang diberikan peluang merasai tekanan membawa Jalur Gemilang di dada.
Maka gunakan tekanan itu sebagai tenaga.
Confidence pula bukan bermaksud kita masuk ke arena sambil merasakan diri paling hebat.
Keyakinan sebenar ialah apabila kita boleh berkata kepada diri:
“Aku sudah membuat persediaan. Aku sudah berlatih. Aku tahu apa yang aku mampu lakukan. Sekarang aku hanya perlu melaksanakannya.”
MEREKA MEMBAWA SATU NEGARA
Kepada setiap peserta, apabila anda memakai bendera Malaysia, anda bukan lagi bertanding sebagai individu.
Di belakang anda ada keluarga.
Ada guru.
Ada jurulatih.
Ada institusi.
Ada industri.
Dan ada lebih 30 juta rakyat Malaysia yang mahu melihat anda berjaya.
Anda adalah duta kecil Malaysia dalam bidang kemahiran masing-masing.
Seperti yang ditegaskan oleh YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Majlis TVET Negara, kemenangan peserta WorldSkills adalah kemenangan negara. Beliau sendiri meletakkan keyakinan bahawa Shanghai 2026 mampu menjadi medan Malaysia mencipta sejarah melalui sasaran “Road to Gold”.
Keyakinan tersebut bukan hadir dalam vakum.
Ia lahir daripada transformasi besar yang sedang berlaku dalam ekosistem TVET negara.
Di bawah kepimpinan beliau sebagai Pengerusi Majlis TVET Negara, agenda TVET diperkukuhkan melalui penyelarasan lebih strategik, penglibatan industri, pengantarabangsaan, peningkatan standard latihan serta pelaksanaan TVET 2.0. Perdana Menteri sendiri pada Hari TVET Negara 2026 mengiktiraf peningkatan prestasi TVET Malaysia dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
WorldSkills Shanghai 2026 kini menjadi salah satu medan untuk kita membuktikan bahawa transformasi tersebut sedang menghasilkan generasi yang bukan sahaja boleh bekerja — tetapi boleh menjadi yang terbaik di dunia.
SUDAH TIBA MASANYA
Malaysia pernah membuktikan keupayaan di pentas serantau. Dalam WorldSkills Asia Taipei 2025, Malaysia muncul di kedudukan ketiga keseluruhan dengan lima emas, lima perak dan empat gangsa.
Sekarang cabaran berikutnya ialah dunia.
Saya mahu anak-anak muda yang membawa nama Malaysia ke Shanghai percaya bahawa sejarah bukan sesuatu yang hanya kita baca.
Sejarah boleh dicipta.
Mungkin selama ini Malaysia belum pernah memenangi emas WorldSkills Competition.
Tetapi rekod masa lalu bukan hukuman terhadap masa depan.
Seseorang akhirnya perlu menjadi yang pertama.
Seseorang perlu berdiri di podium itu.
Seseorang perlu mendengar Negaraku dimainkan di pentas WorldSkills.
Seseorang perlu mengangkat Jalur Gemilang sebagai juara dunia.
Mengapa bukan anda?
Kepada kontinjen Malaysia, bawalah lima perkataan ini ke Shanghai:
BELIEVE. PREPARE. FOCUS. EXECUTE. RECOVER.
Percaya kepada diri.
Buat persediaan sehingga perkara sukar menjadi rutin.
Fokus kepada apa yang boleh dikawal.
Execute seperti yang telah dilatih.
Dan apabila sesuatu tidak berjalan seperti dirancang, recover dengan pantas.
Jangan pergi ke Shanghai dengan mentaliti seorang peserta.
Pergilah dengan mentaliti seorang juara.
Malaysia tidak menghantar anda ke WorldSkills sekadar untuk melengkapkan penyertaan.
Negara menghantar anda kerana kami percaya anda mampu berdiri sama tinggi dengan yang terbaik di dunia.
Shanghai 2026 mungkin menjadi tempat sejarah baharu TVET Malaysia ditulis.
Dan saya percaya, insya-Allah:
Emas pertama itu boleh menjadi milik Malaysia.
BANTU BELIA. BANTU NEGARA.
.png)

.png)



Comments