NOSS ADAPTASI INDUSTRI: HENTIKAN PERTINDIHAN, SATUKAN STANDARD, DEKATKAN TVET DENGAN INDUSTRI
- Belia Mahir (Rizan Hassan)
- 4 days ago
- 4 min read

Mohammad Rizan Hassan
Presiden BELIA MAHIR
merangkap Ahli Majlis TVET Negara
Pengenalan NOSS Adaptasi Industri oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) merupakan satu langkah besar yang wajar diberikan sokongan penuh oleh seluruh ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara.
Pada pandangan BELIA MAHIR, inisiatif ini bukan sekadar penambahan satu lagi kategori dalam pembangunan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan atau NOSS.
Ia berpotensi menjadi satu “game changer” besar dalam usaha merapatkan jurang antara standard kemahiran, institusi latihan dan keperluan sebenar industri.
Lebih membanggakan, transformasi ini diterajui oleh Ketua Pengarah JPK, Ir. Ts. Dr. Kamaruzaman bin Hj. Md. Ali, yang membawa satu pendekatan lebih berani dan pragmatik dalam melihat bagaimana standard kemahiran negara perlu berkembang bersama perubahan industri.
Lebih penting, ia membuka ruang untuk kita memperbetulkan satu masalah yang telah terlalu lama berlaku dalam ekosistem pembangunan tenaga mahir negara — pertindihan standard.
Hari ini, bukan sahaja industri membangunkan standard, prosedur operasi standard dan kerangka kompetensi masing-masing.
Dalam ekosistem kerajaan sendiri, terdapat kementerian, jabatan dan agensi yang turut cenderung membangunkan kerangka kompetensi, standard pekerjaan atau bentuk pensijilan mereka sendiri.
Masing-masing mempunyai alasan.
Masing-masing mempunyai program.
Masing-masing mahu mempunyai kerangka tersendiri.
Dan kadang-kadang, masing-masing mahu menjadi “champion”.
Akhirnya siapa yang pening?
Industri.
Institusi latihan.
Majikan.
Pekerja.
Dan pelajar TVET sendiri.

Kita perlu berani bertanya satu soalan mudah.
Berapa banyak standard sebenarnya yang negara perlukan untuk menentukan kompetensi bagi pekerjaan yang sama?
Jika sebuah pekerjaan itu sama, kompetensinya sama dan industri yang menggunakan tenaga kerja itu juga berada dalam ekosistem yang sama, mengapa perlu wujud pelbagai standard yang membawa nama dan kerangka berbeza?
Negara tidak memerlukan sepuluh versi standard untuk membuktikan bahawa sepuluh pihak sedang bekerja.
Negara memerlukan satu standard nasional yang kukuh, diyakini industri dan boleh digunakan oleh semua.
Dalam soal pembangunan kompetensi pekerjaan, BELIA MAHIR berpandangan bahawa JPK perlu terus diperkasakan sebagai pusat penyelarasan utama standard kemahiran pekerjaan negara.
Kementerian, jabatan, agensi, industri dan badan profesional mempunyai kepakaran masing-masing.
Kepakaran tersebut amat diperlukan.
Tetapi kepakaran itu sepatutnya disumbangkan untuk memperkukuh satu ekosistem standard nasional, bukannya menghasilkan lebih banyak sistem yang bergerak secara selari.
Kita perlu membezakan antara mahu menyumbang kepada negara dengan mahu mempunyai “standard sendiri”.
Ada masanya kecenderungan membangunkan standard sendiri mungkin kelihatan seperti suatu pencapaian organisasi.
Namun dari perspektif industri, terlalu banyak standard bukanlah tanda sistem semakin matang.
Kadang-kadang ia tanda sistem semakin berselerak.

Inilah sebabnya BELIA MAHIR melihat NOSS Adaptasi Industri sebagai satu langkah yang sangat signifikan.
Sebahagian pemain industri utama telah membangunkan standard kerja, SOP, kerangka kompetensi dan sistem latihan yang matang berdasarkan pengalaman operasi sebenar, penggunaan teknologi serta amalan terbaik bertahun-tahun.
Jika standard tersebut telah terbukti, mengapa perlu kita membangunkannya sekali lagi dari kosong?
Lebih baik ia dinilai secara profesional, diselaraskan dengan kerangka kompetensi negara dan, sekiranya memenuhi keperluan, dipertimbangkan untuk diadaptasi sebagai NOSS.
Itulah pendekatan yang lebih matang.
Bukan siapa yang mencipta standard terlebih dahulu.
Bukan logo siapa berada di atas dokumen.
Bukan kementerian atau agensi mana yang boleh mendakwa mempunyai standard sendiri.
Persoalan sebenar ialah:
Adakah standard tersebut benar-benar menggambarkan kompetensi yang diperlukan oleh industri dan boleh digunapakai secara lebih luas untuk kepentingan negara?
NOSS Adaptasi Industri juga berpotensi merapatkan tiga jurang besar.
Pertama, jurang antara latihan dengan pekerjaan.
Apabila pengalaman sebenar industri diterjemahkan ke dalam standard nasional, apa yang dipelajari oleh pelajar akan menjadi lebih dekat dengan apa yang dilakukan apabila mereka memasuki tempat kerja.
Kedua, jurang antara perkembangan teknologi dengan kelajuan pembangunan standard.
Teknologi hari ini berubah terlalu pantas.
Automasi, kecerdasan buatan, kenderaan elektrik, semikonduktor, pembuatan pintar, teknologi hijau dan pendigitalan industri tidak menunggu mesyuarat kita selesai.
Jika proses pembangunan standard terlalu panjang atau setiap organisasi mahu membina kerangkanya sendiri, industri akan terus bergerak sementara standard masih berada di meja perbincangan.
Ketiga ialah jurang penyelarasan antara kerajaan dengan industri.
Kita telah terlalu lama bercakap tentang TVET dipacu industri.
Kalau benar kita mahu TVET dipacu industri, kita juga mesti mempunyai keberanian untuk mengiktiraf bahawa terdapat standard industri yang lebih maju, lebih matang dan lebih dekat dengan teknologi semasa.
Kerajaan tidak semestinya perlu mencipta semuanya.
Peranan kerajaan ialah memastikan apa yang terbaik daripada industri dapat dinilai, diselaraskan, dijamin kualitinya dan diperluaskan untuk kepentingan nasional.
Di sinilah JPK mempunyai tanggungjawab strategik yang besar.
Industri membawa kepakaran.
Kementerian dan agensi membawa perspektif dasar serta bidang kuasa masing-masing.
Institusi TVET membawa kapasiti latihan.
Tetapi semuanya perlu bertemu dalam satu kerangka standard kompetensi nasional yang tersusun.
Kita tidak boleh bercakap tentang penyelarasan TVET pada satu pihak, tetapi pada masa yang sama membenarkan terlalu banyak standard bergerak sendiri-sendiri tanpa kesatuan yang jelas.
Itu bukan penyelarasan.
Itu hanya menambah lapisan baharu kepada kekeliruan lama.
BELIA MAHIR percaya negara sudah sampai kepada satu tahap di mana kita perlu bergerak daripada budaya “siapa punya standard” kepada persoalan yang jauh lebih penting:
“Apakah standard terbaik untuk negara?”
Program PERKASA NOSS 2026 dan pengenalan NOSS Adaptasi Industri harus menjadi permulaan kepada perubahan pemikiran tersebut.
Sudah tiba masanya kita menghentikan budaya membina perkara yang sama berulang kali.
Jika industri telah mempunyai standard yang matang, nilai dan adaptasikan.
Jika kementerian atau agensi mempunyai kepakaran, salurkan kepakaran tersebut melalui kerangka nasional.
Jika terdapat keperluan baharu industri, bangunkan bersama-sama.
Tetapi pada akhirnya, Malaysia memerlukan satu bahasa kompetensi yang dapat difahami dan diyakini oleh semua.
Satu pekerjaan. Satu rujukan nasional. Satu ekosistem standard yang terselaras.
Kerana industri tidak memerlukan lebih ramai “champion” yang menghasilkan standard masing-masing.
Industri memerlukan kepastian.
Dan negara memerlukan standard yang menyatukan, bukan standard yang memecahkan ekosistem kepada lebih banyak silo.
Atas sebab itu, BELIA MAHIR menyokong penuh NOSS Adaptasi Industri.
Sekiranya dilaksanakan dengan tegas, telus dan berintegriti, inisiatif ini bukan sahaja mampu merapatkan jurang antara TVET dengan industri.
Ia boleh menjadi titik perubahan dalam usaha membina satu sistem standard kemahiran negara yang lebih pantas, lebih relevan, lebih tersusun dan benar-benar dipacu keperluan industri.
TAHNIAH JPK!
.png)

.png)



Comments