top of page
Search

MENGGERAK BELIA MALAYSIA MENJADI TENAGA BERKEMAHIRAN


TEKS UCAPAN

 

YANG BERHORMAT DATUK SERI AHMAD MASLAN

TIMBALAN MENTERI KERJA RAYA

  

PERASMIAN

MAJLIS KONVOKESYEN BELIA MAHIR KE-7 TAHUN 2024

 

22 OGOS 2024 (KHAMIS) | 10 PAGI

INTERNATIONAL YOUTH CENTRE (IYC) KUALA LUMPUR, BANDAR TUN RAZAK, CHERAS, KUALA LUMPUR

 


Assalamualaikum W.B.T. dan Salam Sejahtera.

 

YANG BERHORMAT TUAN HAJI MANNDZRI HAJI NASIB

Pengerusi Risda dan Pengerusi Lembaga Penasihat Malaysia-China Institute (MCI)

  

YANG BERHORMAT MOHD SYAHBUDDIN HASHIM

ADUN Galas dan Ahli Lembaga Penasihat BELIA MAHIR

  

YANG BERBAHAGIA ENCIK MOHD SHOUBLI JAMAL

Pemangku Presiden

Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (BELIA MAHIR)

  

YANG BERBAHAGIA TS. ABDUL HALIM BIN ABD RAHMAN

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi & Pengurusan)

Jabatan Pembangunan Kemahiran

  

YANG BERBAHAGIA ENCIK ISHAQ AMARULLAH ITHNIN

Ketua Jabatan Pengurusan Perkhidmatan Modal Insan

Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP)

  

BARISAN AHLI LEMBAGA PENASIHAT BELIA MAHIR;

KETUA-KETUA JABATAN DAN AGENSI KERAJAAN;

BARISAN KEPIMPINAN MAJLIS BELIA MALAYSIA;

WAKIL-WAKIL INDUSTRI DAN MAJIKAN;

KETUA-KETUA EKSEKUTIF PENYEDIA LATIHAN;

PARA TENAGA PENGAJAR;

RAKAN-RAKAN MEDIA;

IBUBAPA DAN PENJAGA YANG DI MULIAKAN;

PARA GRADUAN KEMAHIRAN YANG DI RAIKAN;

DAN PARA HADIRIN SEKALIAN


 

1.       Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana kita berada dalam Majlis Konvokesyen BELIA MAHIR  Ke-7 Tahun 2024 pada pagi ini, suatu majlis gemilang yang merayakan keunggulan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET).

 

2.       Bagi pihak Kerajaan Malaysia, saya merakamkan ucapan terima kasih kepada Pemangku Presiden Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (BELIA MAHIR), Encik Mohd Shoubli Jamal dan Jawatankuasa Kerja BELIA MAHIR, kerana menjemput saya untuk bersama meraikan detik bersejarah kepada golongan belia berkemahiran hari ini.

 

3.       Tahniah kepada Semua Rakan Strategik Belia Mahir samada Penyedia Latihan dan juga Industri yang begitu komited dan bersungguh-sungguh dalam memartabatkan pembangunan belia berkemahiran melalui TVET. Kolaborasi NGO - Penyedia Latihan - Industri yang di praktiskan oleh BELIA MAHIR di mana NGO seperti  BELIA MAHIR yang fokus kepada pembentukan sahsiah pelatih manakala Penyedia Latihan komited menggerakkan latihan kemahiran dan pihak Industri pula memberi jaminan pekerjaan ialah suatu gabungan yang akhirnya membentuk belia  berkemahiran yang relevan dan KOMPETEN dengan keperluan industri.

 


PENGORBANAN BERSAMA DEMI GENERASI MASA HADAPAN

4.       Kepada ibu bapa, saya dapat menyelami perasaan di lubuk hati ayah dan ibu. Saya ingin menyatakan: tuan-tuan dan puan-puan tidak akan berada dalam dewan ini, mengiringi putera-puteri yang berjaya, kalau tuan-tuan tidak melakukan pengorbanan, memberikan dorongan dan menadah tangan ke hadrat Ilahi, mendoakan agar Allah SWT membuka dada dan hati anak-anak untuk menerima ilmu, termasuklah ilmu kemahiran. Maka, marilah semua para graduan belia berkemahiran dan hadirin kita berikan tepukan gemuruh kepada sekalian ibu-bapa.

 

5.       Kepada 200 orang graduan belia berkemahiran yang bakal menerima Sijil Kemahiran Malaysia dan Diploma Kemahiran Malaysia tahniah saya ucapkan. Paling membanggakan saya, seramai 49 orang yang akan menerima sijil ini telah pun menamatkan tambahan latihan peningkatan kemahiran di China melalui Program Malaysia-China Youth TVET Training di bawah kelolaan Malaysia-China Institute (MCI). Di fahamkan juga, selepas majlis ini seramai 20 orang graduan SKM Tahap 3 Automotif akan melanjutkan latihan TVET dalam bidang Diploma Advanced Electric Vehicle (EV) Technology ke Tangshan University China.

 

6.       Untuk pengetahuan semua, inisiatif Malaysia-China Institute (MCI) adalah kerjasama Kerajaan Malaysia dan Kerajaan China di mana penubuhannya telah di umumkan oleh YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri Malaysia pada 9 November 2023. Ketika ini, MCI diterajui oleh YB Manndzri Nasib sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat MCI.

 


JAMINAN KERAJAAN BAHAWA TVET UNTUK SEMUA

7.       Saya di fahamkan separuh dari graduan belia kemahiran yang berada di dewan ini adalah yang tidak menamatkan persekolahan di Tingkatan 5. Namun, anda tidak terus hanyut menjadi belia berisiko dan tercicir sebaliknya segera bangkit dengan melalui sokongan platform BELIA MAHIR dengan memilih TVET sebagai pilihan kerjaya masa hadapan. Ini sesuatu yang terpuji dan hebat.

 

8.       Selagi ada hayat dikandung badan, tidak ada noktah dalam perjalanan menuntut ilmu dalam usaha kita untuk membesarkan “brain bank” atau modal akliah generasi muda di Malaysia.

 

9.       Justeru itu, Kerajaan Malaysia sentiasa komited dan berfokus untuk terus memartabatkan pendidikan teknikal dan vokasional atau TVET bukan sahaja pilihan utama tetapi sebagai budaya masyarakat Malaysia dalam mengangkat pembelajaran sepanjang hayat.

 


PERANAN ANAK MUDA DALAM PEMBANGUNAN EKONOMI DAN KEMAKMURAN BERSAMA

10.     Sebagai individu muda dalam masyarakat, anda memegang kunci untuk membentuk masa depan ekonomi negara kita. Adalah penting bagi generasi muda untuk mengiktiraf dan menghargai peluang yang diberikan oleh kerajaan dan secara aktif menyumbang kepakaran anda semua ke arah pembangunan negara kita.

 

11.     Dengan berbuat demikian, anda bukan sahaja memainkan peranan penting dalam pertumbuhan ekonomi tetapi juga membuka jalan untuk kemakmuran bersama di kalangan semua rakyat. Golongan muda mempunyai tenaga, kreativiti dan semangat yang diperlukan untuk memacu inovasi dan kemajuan dalam pelbagai sektor.

 

12.     Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab anda untuk memanfaatkan kualiti ini dan berusaha ke arah membina ekonomi yang mampan dan berkembang maju. Ayuh rebut peluang yang ada di hadapan kita, bekerjasama antara satu sama lain, dan mengambil bahagian secara aktif dalam pembangunan negara untuk manfaat semua.

 


PERANAN BELIA BERKEMAHIRAN MEMBENTUK EKONOMI NEGARA

13.     Dalam landskap ekonomi yang dinamik hari ini, kehebatan belia berkemahiran TVET memberi impak yang ketara kepada pertumbuhan dan pembangunan negara di seluruh dunia. Memandangkan pasaran buruh semakin kompetitif dan dipacu teknologi, permintaan untuk tenaga kerja mahir amat mendesak. Negara-negara yang mengutamakan pendidikan dan latihan TVET, golongan belia mereka mendapat faedah daripada ekonomi yang berkembang maju.

 

14.     Belia berkemahiran TVET membawa perspektif baharu, idea inovatif dan kesediaan untuk menyesuaikan diri dengan perubahan permintaan pasaran. Kepakaran anda dalam bidang seperti teknologi dan kejuruteraan memacu industri ke hadapan dan memacu pertumbuhan ekonomi. Akibatnya, trajektori ekonomi negara kini dipengaruhi oleh sumbangan individu berbakat seperti anda semua.

 

15.     Dengan melabur dalam pembangunan belia berkemahiran TVET, Kerajaan bukan sahaja memperoleh kelebihan daya saing dalam pasaran global tetapi juga memupuk masa depan ekonomi yang mampan. Kejayaan ekonomi masa kini tidak dinafikan dibentuk oleh keupayaan dan potensi golongan belia yang berkemahiran TVET.

 


KEPENTINGAN MENJAGA KOMPETENSI GRADUAN TVET DI TEMPAT KERJA

16.     Belia Berkemahiran TVET memainkan peranan penting dalam tenaga kerja dengan membawa kemahiran dan pengetahuan khusus kepada pelbagai industri. Walau bagaimanapun, untuk memastikan pertumbuhan dan kejayaan yang berterusan dalam kerjaya anda, adalah penting bagi belia berkemahiran TVET untuk mengekalkan kecekapan anda dan mempamerkan sikap yang betul di tempat kerja. Ini bukan sahaja menjamin produktiviti yang cemerlang tetapi juga meningkatkan reputasi profesional dan prospek kerjaya anda.

 

17.     Para Belia Berkemahiran TVET mesti mengutamakan sikap mengikuti perkembangan dan trend khusus industri untuk kekal berdaya saing dalam pasaran kerja. Dengan terus meningkatkan kemahiran dan pengetahuan, anda menunjukkan komitmen terhadap pembangunan peribadi dan profesional. Selain itu, mempamerkan sikap positif, etika kerja yang kukuh dan kemahiran komunikasi yang berkesan boleh memberi kesan ketara kepada prestasi dan hubungan anda dengan rakan sekerja dan penyelia dan majikan.

 

18.     Maka, agar Belia Berkemahiran TVET berkembang maju dalam bidang masing-masing, anda harus giat berusaha untuk mengekalkan kompetensi dan mempamerkan sikap positif di tempat kerja. Dedikasi kepada pembelajaran berterusan dan pertumbuhan profesional ini bukan sahaja akan memberi manfaat kepada kerjaya diri sendiri tetapi juga menyumbang kepada kejayaan keseluruhan organisasi tempat anda bekerja.

 


MENGILHAMKAN HARAPAN, MENCIPTA KETERAMPILAN DAN MENGGERAK BELIA MALAYSIA

19.     Kerajaan hari ini mahukan TVET bagaikan komoditi yang dijadikan mudah untuk diperoleh oleh setiap keluarga. TVET telah berperanan sangat penting lagi berkesan mengubah struktur sosial dan struktur ekonomi masyarakat.

 

20.     Kerajaan akan terus memperluaskan TVET dan menjadi suatu budaya baru generasi muda kita. Malah, di dalam menghadapi keperluan dunia semasa, dan cabaran dunia akan datang, TVET bukan sahaja perlu diperluas dan diperkembangkan, tetapi wajib dipertingkatkan

 

23.      Akhirul kalam, saya mengajak seluruh keluarga besar belia di Malaysia khususnya belia berkemahiran TVET untuk bersedia melakukan anjakan paradigma yang diperlukan untuk membina masa depan yang gemilang dan kesejahteraan bersama.

 

24.     Kepada para graduan belia berkemahiran TVET, ini adalah langkah pertama dalam membuka lembaran baru. Masa depan cerah untuk anda semua, sarat dengan cabaran dan melimpah dengan harapan.

 

25.     Garaplah kejayaan yang terbuka luas untuk saudara-saudari. Jadilah kebanggaan keluarga dan negara. Marilah kita bersama, MENGILHAMKAN HARAPAN, MENCIPTA KETERAMPILAN DAN MENGGERAK BELIA MALAYSIA

 

Dengan lafaz BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM, “DENGAN NAMA ALLAH, YANG MAHA PEMURAH DAN MAHA PENYAYANG”, saya merasmikan Majlis Konvokesyen BELIA MAHIR Ke-7 Tahun 2024.

 

Sekian terima kasih.



121 views0 comments

Comments


bottom of page