top of page
Search

Warga asing jadi bos, rakyat tempatan tersepit?


Lambakan pekerja asing termasuk pendatang asing tanpa izin (PATI) sebenarnya turut memberikan risiko terhadap lepasan Sistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).


Mereka dikatakan mengisi banyak jawatan teknikal dan separa mahir dalam sektor industri dan perkhidmatan. Justeru, adakah penilaian perlu diubah daripada kebolehpasaran kepada kebolehpekerjaan.


Kempen menggantikan pekerja asing dan PATI dengan tenaga kerja tempatan perlu diperhebatkan agar warga asing ini tidak menjadi majikan pula di negara ini.


Ikuti kupasannya bersama Presiden Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (Belia Mahir), Mohammad Rizan Hassan yang diwawancara wartawan Kosmo! Ahad, Mohd. Yunus Yakkub baru-baru ini.


KOSMO! AHAD: Majikan lebih suka pilih pekerja asing kerana dikaitkan produktiviti, apa pandangan anda?


MOHAMMAD RIZAN: Perkara ini sebenarnya lebih kepada hak kesedaran pekerja tempatan telah meningkat. Tenaga tempatan diwajibkan bekerja selama 45 jam seminggu, selebihnya dikira bekerja lebih masa.


Pekerja asing dipilih kerana sanggup bekerja lebih lama hingga 16 jam sehari. Situasi ini memudahkan eksploitasi, jus­teru penguatkuasaan perlu bagi memastikan semua pihak mematuhi had waktu kerja.


Ini bukan disebabkan ada dakwaan pekerja tempatan ‘kurang cekap’?

Pekerja di bahagian lapisan bawah seperti ‘direct labour’ amat diperlukan dengan permintaan tinggi. Pihak industri, sering mengatakan apabila jawatan diiklankan, tiada yang mahu memohon.


Golongan belia pula membangkitkan isu gaji, tiada kemudahan penginapan dan pengangkutan. Penyelesaian dalam isu ini tidak sepatutnya tertumpu kepada pengambilan pekerja asing.


Dapatan Belia Mahir menunjukkan gaji rendah dan kekura­ngan sokongan seperti pengangkutan serta penginapan menjadi halangan utama. Bantuan mobiliti yang pernah wujud pasca Covid-19 kini tiada, menyukarkan golongan belia yang memerlukan sokongan sosial terutama kewangan.


Mohammad Rizan mengupas mengenai pelbagai cabaran yang terpaksa dihadapi oleh rakyat Malaysia terutama gologan belia dalam isu persaingan kerja dengan warga asing. Foto oleh AMIR KHALID
Mohammad Rizan mengupas mengenai pelbagai cabaran yang terpaksa dihadapi oleh rakyat Malaysia terutama gologan belia dalam isu persaingan kerja dengan warga asing. Foto oleh AMIR KHALID

Adakah pekerja asing dan PATI tutup peluang rakyat tempatan?

Kehadiran mereka mengehadkan peluang dan menekan gaji pekerja tempatan. Setiap tahun, daripada 500,000 lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di negara ini, sebanyak 200,000 terus memasuki alam pekerjaan.Ekonomi Malaysia


Jika saluran kerja betul disediakan dan program seperti PROSPEK diserapkan, kebergantungan pada pekerja asing boleh dikurangkan. Peratusan pekerja tempatan dan asing dalam sesuatu premis perlu ditetapkan secara tegas supaya hak diberikan kepada warga tempatan.


Adakah pekerja asing ini tenaga mahir atau sebaliknya?

Mereka mahir kerana memperoleh pengalaman dan latihan ketika bekerja di Malaysia. Tidak semestinya me­reka datang de­ngan kemahiran ting­gi, sebaliknya banyak yang belajar secara praktikal di tempat kerja.


Peluang dan elemen latihan yang sama wajar diberikan kepada pekerja tempatan dengan sekurang-kurangnya 50 peratus levi pekerja asing boleh dimanfaatkan untuk melatih tenaga kerja tempatan agar mereka mampu menggantikan kebergantungan kepada pekerja asing.


Sejak bila pekerja asing menjadi majikan kepada warga tempatan?

Ia berlaku dalam beberapa perniagaan seperti premis yang menjual bateri kenderaan, tayar dan penghawa dingin. Mereka awalnya datang bekerja­, namun beberapa tahun menjadi rakan kongsi majikan dan membuka perniagaan sendiri hingga menggaji pekerja tempatan.


Ini menunjukkan ekosistem tenaga kerja kita kurang seimbang apabila sebahagian majikan lebih berorientasikan keuntungan dan menyerahkan pembangunan bakat kepada kerajaan.


Di negara maju seperti Jepun, pekerja asing dikawal­ ketat. Selepas tiga tahun, mereka perlu lulus pe­periksaan kelayakan sebelum visa disambung, sekali gus memastikan kemahiran dan memberi pulangan kepada kerajaan.


Sektor mana yang banyak dikuasai pekerja asing?

Saya berani katakan hampir semua sektor ada pekerja asing. Dalam perkilangan terutama melibatkan mesin, banyak jawatan teknikal sudah diisi mereka. Ramai juga daripada mereka sudah beralih menjadi usahawan dalam perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).


Malah bidang makanan, penya­man udara dan perkhidmatan domestik juga semakin dikuasai mereka.


Adakah graduan TVET mampu bersaing dengan pe­kerja asing yang lebih fleksibel dan murah?

Sesi libat urus antara majikan dan institusi TVET perlu diperkukuh bagi memastikan graduan tempatan bersaing dari segi fleksibiliti dan kos. TVET ada tahap kemahiran berbeza dan skim gaji tersendiri, manakala latihan industri seperti perantisan wajar diperluas.


Cadangan saya, pinjaman Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) dibayar balik oleh majikan sepanjang graduan bekerja.


Jadi, perlu bersaing dengan pekerja asing?

Cabaran utama hari ini bukan lagi lepasan diploma atau ijazah, tetapi persaingan dengan pekerja asing. Tidak wajar menyalahkan golo­ngan belia jika mereka enggan melanjutkan pengajian hingga diploma atau ijazah. Mereka sudah sedar realiti pasaran kerja kini.


Sering kali generasi muda dihukum kononnya hanya mahu kerja gig, sedangkan itulah pilihan yang ada. Hakikatnya mereka mahu bekerja dalam bidang diminati, tetapi ekosistem sedia ada membuatkan mereka semakin tersepit.


Adakah sukar untuk ­tandingi pekerja asing ini?

Saya ada kepercayaan, kita semakin hari semakin sukar untuk bersaing dengan pekerja asing yang ada di negara kita selagi kita tidak tegas tangani lambakannya. Majikan ini pun sering kata tidak cukup pekerja. Sebaliknya pekerja asing yang sudah lama telah ke PMKS atau melompat menjadi pekerja mahir, bukannya pulang ke kampung.


Ini mungkin menjadi risiko besar kepada pelajar TVET?

Ya, ia boleh menjadi bom jangka kepada pelajar TVET. Ramai memilih TVET, tetapi selepas tamat pengajian, peluang kerja terhad kerana sektor sudah dimonopoli pekerja asing.


Kaedah latihan perlu diubah. Kursus jangka pendek lebih praktikal, disertai pinjaman atau geran latihan. Ekosistem bukan sekadar siji sebaliknya bantuan seperti mobiliti dan peluang naik pangkat selepas pengalaman kerja juga perlu disediakan.


Apa jadi kepada ramai ge­nerasi muda dilatih TVET?

Tanpa ekosistem pekerjaan yang menyokong, negara sebenarnya menanggung kerugian besar. Ramai pelajar dipersiapkan hingga ke tahap kemahiran tinggi seperti diploma, SKM Tahap 3 ke atas dan ijazah, namun akhirnya sukar memperoleh jawatan se­timpal selepas berhutang untuk belajar.


Kaedah terbaik menilai kemampuan lepasan TVET?

Perlu diubah dari keboleh­pasaran kepada kebolehpekerja­an. Kedua-duanya berbeza. Kebolehpasaran bermaksud graduan boleh bekerja dalam apa jua bidang selepas tamat belajar, manakala kebolehpekerjaan pula menekankan kemampuan belajar dan bekerja dalam bidang yang sama.


Fokus Belia Mahir di bahagian mana?

Kami menumpukan kepada keperluan rendah, khususnya belia NEET (tidak bekerja, belajar atau mengikuti latihan) dengan kelayakan akademik rendah. Mereka diserap ke sektor seperti logistik perkapalan, pemandu lori pelabuhan, kawalan kualiti dan pengendalian mesin yang banyak bergantung kepada pekerja asing.


Latihan dijalankan bersama industri, sama ada di tempat kerja atau sebelum bekerja, bia­sanya tidak melebihi sebulan dengan gaji permulaan sekitar RM2,000.


Setakat ini, berapa ramai pelatih dilahirkan Belia Mahir?

Sehingga kini, Belia Mahir telah melahirkan 60,000 pelatih, dengan penekanan pada tiga aspek utama: asrama, pengangkutan dan latihan. Pendekatan ini memastikan pelatih mendapat sokongan menyeluruh bagi meningkatkan kemahiran serta kebolehpasaran mereka.


Harapan Belia Mahir kepada kerajaan?

Belia Mahir menggesa kerajaan melaksanakan kempen besar-besaran bagi menggantikan pekerja asing dengan tenaga kerja tempatan. Program serupa pernah dilaksanakan Belia Mahir semasa Covid-19 berjaya menempatkan 2,000 pekerja dalam tempoh dua bulan, dengan peruntukan RM1,500 seorang.


Beberapa majikan enggan bergantung sepenuhnya kepada pekerja asing kerana kos levi dan perbelanjaan kesihatan yang tinggi. Belia Mahir juga mencadangkan sistem bayaran balik bagi tabung kemahiran bagi memastikan latihan tempatan memberi impak jangka panjang.


Sumber: Kosmo Ahad

 
 
 

Comments


PROJEK BELIA MAHIR

Jadi Sahabat Kami

Terima kasih. Anda bersama kami!

+60107601076 / +60137733676

No. 8-2, Jalan Puteri 2A/5, Bandar Puteri Bangi, 43000 Kajang, Selangor

  • Facebook
  • Instagram
  • Twitter
  • TikTok
  • Whatsapp

©2019 by PERTUBUHAN KEBANGSAAN PEKERJA BERKEMAHIRAN. Proudly created with Wix.com

bottom of page